Ahad, 16 Mei 2010

TANGGUNGJAWAB DAN AMANAH PENDIDIK



Tanggungjawab Terhadap Allah


1. Seorang guru Muslim hendaklah sentiasa memantapkan keyakinan/keimanan kepada Allah di samping mengukuhkan hubungannya yang berterusan denganNya.
2. Sifat istiqamah, iltizam semangat berbakti dan beramal soleh hendaklah menjadi amalan harian.
3. Guru Muslim mustahak menghayati rasa khusyuk, takut dan harap kepada Allah.
4. Guru Muslim hendaklah prihatin untuk sentiasa mengagungkan syiar agama Islam dan berusaha ke arah mendaulatkan syariat Islam.
5. Guru Muslim mesti melaksanakan kewajiban agama, menghindari laranganNya dan menyempurnakan segala hak dan tanggungjawab yang berkaitan dengannya.
6. Guru Muslim hendaklah bersyukur kepada Allah di samping selalu berdoa kepadaNya dengan membaca ayat-ayat Allah dan merendahkan diri ke hadratNya.


Tanggungjawab Terhadap Diri (Hak Kepada Diri Sendiri)


1.Guru muslim hendaklah memastikan keselamatan diri sendiri, sama ada dari aspek fizikal, emosional, mental mahupun moral.
2. Prihatin terhadap kebersihan diri, pakaian Mestilah mengikut etika sekolah dan kementerian Pelajaran Malaysia, perawakan dan tempat tinggal.
3. Memahami kekuatan dan kelemahan diri untuk boleh dimanfaatkan serta ditingkatkan dari segenap aspek.
4. Meningkatkan kesejahteraan diri agar dapat berkhidmat selama dan sebanyak mungkin kepada Allah, masyarakat dan negara.
5. Melibatkan diri dengan program dan agenda yang boleh meningkatkan kualiti profesion sebagai seorang guru.


Tanggungjawab Terhadap Ilmunya


1. Memastikan penguasaan ilmu takhassus secara mantap dan mendalam.
2. Beriltizam dengan amanah ilmiah.
3. Prihatin untuk mengamalkan dan mengembangkan ilmu yang dipelajari.
4. Sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terbaru dalam pengajaran ilmu yang berkaitan.
5. Dari semasa ke semasa guru Muslim hendaklah menelusuri sudut atau dimensi spirituality Islam dalam pelbagai lapangan ilmu pengetahuan.
6. Sentiasa memanfaatkan ilmu untuk tujuan kemanusiaan, kesejahteraan dan keamanan umat manusia sejagat.


Tanggungjawab terhadap Profesion


1.Guru tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionnya dan yang mana menyebabkan kurang kepercayaan orang ramai terhadap profesion pendidikan.
2. Dia tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan.
3. Dalam semua hubungan dan tugas seseorang guru hendaklah menjalankannya dengan jujur dan menepati masa
4. Tanggungjawab utama seseorang guru ialah terhadap pelajarnya. Kepentingan para pelajarnya haruslah mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian.
5. Dia haruslah menumpukan perhatian dan pengajaran untuk semua pelajar tidak kira bangsa, agama atau kepercayaan.
6. Dia haruslah bertugas sebagai pengganti ibu bapa dalam usaha membentuk tingkah laku para pelajar ke arah matlamat-matlamat yang diterima oleh masyarakat.
7. Dia haruslah menumpukan perhatian terhadap keperluan setiap pelajarnya.
8. Dia haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua pelajar tidak kira bangsa, warna, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal keluarga, intelek, akademik dan status-status lain.
9. Dia harus mengesan dan menerima perbezaan individu di kalangan pelajar dan memandu mereka memperkembangkan potensi mereka dari segi jasmani, intelek, daya cipta dan rohani.
10. Dia harus menghormati hak setiap pelajar supaya maklumat-maklumat sulit mengenai diri para pelajar tidak diberitahu kepada orang atau agensi lain yang tidak berkenaan.
11. Dia tidaklah harus bertingkah laku terhadap para pelajarnya begitu rupa yang boleh membawa jatuhnya darjat profesion perguruan.
12. Dia tidaklah harus mengajar sesuatu yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat awam atau negara.
13. Dia haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap para pelajarnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warga negara yang taat setia dan beragama.
14. Dia tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri para pelajarnya dan ibubapanya.
15. Dia haruslah bertingkah laku begitu rupa supaya menjadi contoh yang baik terhadap pelajar.
16. Dia tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru-guru lain.
17. Untuk mendapatkan pekerjaan atau kenaikan pangkat dia haruslah menggunakan cara-cara yang sah sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan).
18. Dia tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-membesarkan namanya untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam profesion perguruan.

Tanggungjawab Terhadap Pelajar


1. Guru muslim hendaklah lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar dari hal-hal lain.
2. Bersikap adil (TIDAK BIAS) dan tidak EMOSIONAL terhadap setiap seseorang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan dan agama.
3. Menampilkan suatu cara pakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar. (Amat dianjurkan dalam Islam)
4. Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam kelas sendiri atau dalam mata-mata pelajaran yang diajar dalam kelas tanpa sebarang bayaran.
5. Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran mencapai mutu yang setinggi-tingginya.


Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat


1. Guru muslim hendaklah mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.
2. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan sebagai guru.
3. Berusaha dengan sepenuhnya menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkan kemajuan ikhtisas dan sosial.
4. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat terutamanya mereka yang baru dalam profesion perguruan.
5. Sentiasa mengawasi diri supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan.


" خيركم من تعلم القرأن و علمه "


MAKSUDNYA :
SEBAIK-BAIK KAMU ADALAH SESIAPA YANG BELAJAR AL-QURAN DAN MENGAJARKANNYA KEPADA ORANG LAIN
( MAKSUD HADIS )


SELAMAT HARI GURU 2010




PERUTUSAN HARI GURU 2010

KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,


Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.


Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasehi sekelian.


1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, sekali lagi pada tarikh ini, 16 Mei 2010 kita dapat menyambut hari paling istimewa bagi para pendidik iaitu Hari Guru. Tanggal 16 Mei setiap tahun sejak 1972 disambut untuk kita semua memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion keguruan selain mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.

2. Tahun ini, sekali lagi tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik agar setiap kita dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum. Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak seiring aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama. Oleh itu, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama.

3. Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard serta mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa.

4. Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Setiap guru juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka supaya generasi pelapis akan mampu mengorak langkah kearah kecemerlangan diri, bangsa dan negara.

5. Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Rasulullah SAW sejak awal sudah mencontohkan dalam mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang beliaulakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Saya penuh yakin dengan kewibawaan para guru di Malaysia dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi.Warga pendidik dan pelajar sekelian..

6. Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi.

7. Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan. Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahirantinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara.

8. Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri menekankan kesejahteraan rakyat dan keberhasilan yang dapat dinikmati seperti yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia “Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bagi mencapai kesejahteraan, warga pendidik harus menghayati dan berkongsi bersama falsafah dan objektif ‘collegiality’ yang membawa maksud “the cooperative relationship with colleagues” (keserakanan). Kita harus faham bahawa prinsip keserakanan yang positif boleh mempercepatkan proses pencapaian kecemerlangan secara bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik supaya aspirasi negara dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.

9. Saya dengan ini menyeru kepada semua warga pendidik supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama bekerja bagi memartabatkan organisasi pendidikan kita. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat keserakanan bagi memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan. Sama-samalah kita berdoa agar apa yang direncana akan terlaksana mengikut rangka kerja dan perancangan.

10. Penilaian Petunjuk Prestasi (KPI) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 meliputi semua agensi kerajaan. Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan. Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, kokurikulum, disiplin yang baik, amalan-amalan pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi serta amalan yang berasaskan prestasi. Penggunaan KPI dan sasaran prestasi boleh digunakan dalam setiap aspek pengurusan sekolah di mana prestasi boleh diukur dari segi proses yang disampaikan dan output yang dihasilkan di sekolah. Sasaran prestasi perlu mengambil kira perkara-perkara seperti keupayaan proses yang meliputi aliran kerja, keperluan sumber manusia, kewangan, peralatan, infrastruktur yang sesuai serta kepuasan dan kehendak pelanggan.

11. Saya yakin sistem pengukuran KPI sebagai kayu pengukur kepada kecemerlangan perkhidmatan pendidikan akan dapat meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan untuk rakyat Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan kualiti sistem pendidikan negara kekal dan bertaraf dunia.

Akhir kata, sempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia dan berharap tahun 2010 ini akan membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan negara dengan melahirkan modal insan yang harmonis dan seimbang yang akan menjadi tonggak kekuatan negara bangsa.


TERIMA KASIH CIKGU! …


“SELAMAT HARI GURU”.

Sabtu, 8 Mei 2010

PANITIA PENDIDIKAN ISLAM SEMENAM

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM


Pendidikan Islam Adalah Suatu Usaha Yang Berterusan Untuk Menyampaikan Ilmu, Kemahiran Dan Penghayatan Islam Berdasarkan Al-Quran Dan As-Sunnah, Bagi Membentuk Sikap, Kemahiran, Keperibadian Dan Pandangan Hidup Sebagai Hamba Allah Yang Mempunyai Tanggungjawab Untuk Membantu Diri, Masyarakat, Alam Sekitar Dan Negara Ke Arah Mencapai Kebaikan Di Dunia Dan Kesejahteraan Abadi Di Akhirat.

PENGENALAN PANITIA PENDIDIKAN ISLAM

Menyedari akan hakikat bahawa Islam itu merangkumi keseluruhan cara hidup dan amaln setiap detik bagi seorang muslim.Maka Pendidikan Islam menekankan ilmu , amalan dan penghayatan.Murid diberi pengetahuan dan kefahaman yang mendalam serta mencukupi tntang pelbagai persoalan dan isu kehidupan yang luas bagi mencorak dan mempengaruhi budaya serta cara hidup masyarakat dan umat Islam

Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam KBSM ini hendaklah diajar dengan tulisan jawi.Bidang-bidang pembelajaran hendaklah diolah dan disampaikan dengan berkesan melalui cara yang lebih menarik dan sentiasa dikaitkan dengan pelbagai aspek ilmu dan amalan yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan secara meluas mampu mengubah dan mampu membangunkan diri sendiri serta masyarakat yang mempunyai daya fikiryang cemerlang,berakhlak mulia ,bersefahaman ,bersyukur dan bersatu padu.Pengolahan yang demikian rupa hendaknya mampu menghasilkan tamadun ummah yang tinggi serta dapat memberi sumbangan terhadap pembangunan dan kesejahteraan negara.

Nilai-nilai daripada mata pelajaran lain seperti sains,geografi,sejarah dan matematik juga perlulah direntas supaya wujud kesepaduan daripada pelbagai ilmu yang diperolehi di sekolah menengah.Melalui pendekatan ini cita-cita untuk melahirkan insan harmonis , seimbang dan bertakwa akan tercapai.


MATLAMAT MATAPELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM

Matlamat Pendidikan Islam adalah untuk menghasilkan muslim yang berilmu,beriman,berketrampilan,beramal soleh,beradab dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai hamba dan khalifah Allah yang bertakwa dan menyumbang kepada tamadun bangsa dan negara.


OBJEKTIF UMUM

1. Memperbaiki Dan Meningkatkan Mutu kecemerlangan Dan Keberkesanan Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Islam

2. Berikhtiar Dan Berusaha Untuk Mendapatkan Strategi-Strategi Mengajar Yang kreatif dan Inovatif serta Boleh Mendorong Serta Menggerakkan Kecenderungan Para Pelajar Terhadap Pembelajaran
3. Mencuba sedaya upaya Memperbaiki Prestasi Pelajar Di Dalam Peperiksaan ( Berasaskan Sekolah Dan Awam ) Dalam Mata Pelajaran Pendidikan Islam Berpandukan Atau Berasaskan Kepada Prestasi Atau Target Yang telah ditetapkan oleh pihak panitia dan sekolah.
4. Berusaha mewujudkan pelajar yang cemerlang dari segi akdemik dan sahsiah dengan menerapkan ketinggian dan kutuhan akhlak yang mulia dalan sesi pengajaran dan pembelajaran
5. Mewujudkan Semangat Kerjasama Di Antara Panitia Dengan Persatuan /Kelab Akademik.


OBJEKTIF KHUSUS

Setelah mempelajari Pendidikan Islam Bersepadu Sekolah Menengah diharapkan murid akan dapat :

1. Membaca ayat-ayat terpilih daripada al-Quran dengan betul,fasih,mahir dan bertajwid,untuk memperkukuh minat dan amalan membaca al-Quran.
2. Menghafaz ayat-ayat al-Quran yang terpilih untuk menambah bacaan dalam solat dan amalan ibadah harian.
3. Memahami beberapa maksud ayat al-Quran dan Hadis yang dipelajari serta menghayati pengajarannya sebagai sumber hukum dan panduan mukmin
4. memantap keyakinan pegangan akidah Islamiyyah serta menghidupkan konsep tauhid secara sedar dalam keseluruhan amalan dan menjadi benteng keagamaan
5. Memperkukuh dan mempertingkat amalan ibadat fardhu ain serta memahami sumbangan fardhu kifayah sebagai kewajipan umat Islam menyumbang kepada kemajuan hidup di dunia dan di akhirat
6. Memahami dan mengambil iktibar daripada sirah nabawiyyah ,khulafa' al-Rasyidin dan tokoh-tokoh Islam sebagai asas pembentukan dan pembangunan insan yang cinta dan menyumbang ke arah pembangunan tamadun bangsa dan negara.
7. Berakhlak mulia dan mengamalkan nilai-nilai murni sebagai tunggak budaya bangsa yang bermaruah
8. Membaca dan menulis jawi melalui penggunaanya dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam sebagai warisan amalan budaya bangsa akan terus diperkukuhkan.

SALAM PERKENALAN

Panitia pendidikan Islam SMK Nambayan ( PPI SEMENAM ), merupakan salah satu daripada sepuluh panitia yang bernaung di bawah Bidang Kemanusiaan yang diterajui oleh Pn Julita Majail.PPI Semenam diketuai Oleh Ust Husnun Haldi bin Arifn selaku ketua Panitia , Ustazah Hasni Falina bt Ishah ( Setiausaha ) , Ust hairul Nizam bin Khairon ( Bendahari ) dan ustazah Melina bt Alias ( Penyelaras Bilik Pend.Islam ).Walaupun mempunyai tenaga yang terhad namun segala gerak kerja yang dirancang dapat dijalankan dengan baik dan lancar hasil kerjasama dan komitmen semua pihak termasuk pentadbir yang sentiasa perihatin dan menghulurkan khidmat nasihat bagi melicinkan lagi program yang telah diatur.
Beberapa program yang dirancang telah berjalan seperti Majlis Tadarrus al-Quran ( MTQ ) yang telah diadakan pada bulan Mac yang lalu.Selain itu Panitia Bahasa Arab juga telah melaksanakan aktivitinya sempena bulan bahasa pada april yang lepas.Sambutan yang diterima dari para pelajar amatlah menggalakkan.Beberapa program lagi yang telah diatur , InsyaAllah akan cuba direalisasikan seperti Praktikal haji , Klinik Solat , Sembahyang hajat perdana , Iftar jamai'e dan pelbagai lagi program yang bakal dilaksanakan.
Dari segi kurikulum pula , diantara aktiviti yang dirancang adalah seperti bengkel menjawab soalan PMR dan SPM ( bagi matapelajaran pendidikan Islam , tasawwur islan dan Bahasa arab),Kelas tambahan dan latih Tubi berkala . Semua ini dilakukan bagi memenuhi tuntutan KPI yang telah ditetapkan oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah dan SMK nambayan sendiri.mudah-mudahan komitmen guru-guru Pendidikan Islam , tasawwur Islam dan Bahasa Arab mampu membuahkan hasil yang baik menepati sasaran KPI atau lebih baik lagi InsyaAllah. Untuk pengetahuan semua juga , pada 6 Mei 2010 yang lalu , Semua guru dan pelajar Semenam telah membuat aku janji dan melafazkan ikrar masing-masing dalam usaha mengembeling tenaga bagi mencapai KPI PMR dan SPM 2010.Harapan kita , ikrar tersebut bukan sahaja sekadar pemanis mulut dihadapan ibu bapa malah sebagi bukti kesungguhan kita sebagai pengajar dan juga pendidik kepada anak bangsa demi kemajuan jasmani , emosi , rohani dan intelek.
Kelahiran Blog Rasmi Panitia pendidikan islam Semenam ini ( PPI SEMENAM ) adalah sebagai satu wadah dalam menyebar dan menyampaikan maklumat serta sebagai medan perkongsian ilmu dengan sesiapa sahaja , yang bermatlamat memajukan sistem pendidikan umumnya dan pendidkan Islam , tasawwur islam , bahasa arab khususnya. Melalui Blog ini adalah diharapkan semua pihak dapat menyumbangkan buah fikiran , idea-idea disamping menyelitkan aktiviti aktiviti panitia mahupun apa-apa aktiviti persatuan bagi kemudahan dan kepentingan bersama yang dapat menyumbang kepada pembangunan sahsiah diri dan ummah ( pelajar dan guru-guru )
Segala kelemahan dan kekurangan mohon diperbetulkan , segala kebaikan dan kelebihan mohon di sebar dan diamalkan.....
Syukran jazilan....